Periuk logo
Periuk logo

Bagaimana untuk membaca resepi di Periuk

Menulis resepi bukanlah senang. Lain tekak, lain rasanya. Ada orang yang lebih suka sukatan yang tepat sehingga ke unit gram. Ada yang menggunakan cawan dan sudu. Ada pula yang memakai tangan dan mata. Masakan Malaysia (dan masakan di rumah secara umum) banyak menggunakan agak-agak.

Ramai orang yang mula memasak berasa gerun dengan konsep ini, dan sebaliknya, ramai orang yang berpengalaman di dalam dapur hanya melihat sukatan yang ditulis sebagai panduan. Kami mencuba sedaya upaya untuk mengimbangkan sudut pandangan yang pelbagai ini, dan inilah keputusan kami:

  1. Ramuan kering dan daging: sukatan berat
  2. Sukatan kecil cecair dan ramuan berbentuk serbuk: cawan dan sudu
  3. Sukatan besar cecair: mililiter atau liter
  4. Halia, kunyit hidup, dan rizom masakan terpilih akan diukur menggunakan inci melainkan disebut sebaliknya.
  5. Sayuran kacang dan berdaun dirujuk mengikut ikatan, kerana sayuran dijual mengikut ikat di pasar dan pasar raya di Malaysia. Apa itu satu ikat: bentukkan bulatan dengan kedua-dua tangan. Batang yang anda boleh muatkan dalam bulatan ini adalah seikat. Ikat kecil adalah separuh daripada jumlah itu.
  6. Kami kadang-kadang menyatakan ‘segenggam’ atau ‘secubit’ sesuatu bahan. Jangan risau yang genggam atau cubit anda berbeza berbanding genggaman dan cubitan kami. Kami janji yang rasanya tidak akan terlampau berbeza. 
  7. Resepi yang dibakar dalam ketuhar dan juga resepi manisan adalah lebih tepat, oleh itu sila ikuti resepi-resepi ini dengan teliti.
  8. Kebanyakan lauk boleh menghidangkan 4; maksudnya ini boleh dimakan oleh empat orang dengan nasi atau lauk lain.

Jika anda sedang memasak di luar Malaysia atau Asia, sila ambil perhatian yang dapur masak anda mungkin mempunyai BTU yang berbeza dengan dapur masak Asia yang diperbuat di negara-negara Asia. Julat kelembapan dan suhu rumah anda juga mungkin berbeza. Sila laraskan tetapan suhu anda sewajarnya.

Kami juga membuat keputusan untuk tidak memberi anggaran masa mengikut minit dan jam untuk menyediakan sesuatu resepi. Memang kami boleh katakan yang resepi ini akan mengambil masa 30 minit, tetapi kami dah lama sedar yang tempoh masa boleh berubah mengikut angin. Inilah definisi anggaran masa penyediaan kami:

  1. Ringkas: Memerlukan usaha minimal, atau boleh dimasak dalam masa yang singkat.
  2. Kena rajin sikit: Lebih perhatian diperlukan, tak kiralah kalau harus menghiris dan memotong lagi, atau harus berdiri di depan dapur masak dengan lebih lama. Kebanyakan resepi kami termasuk dalam kategori ini.
  3. Banyak bersabar: Resepi ini memerlukan usaha yang tinggi (melalui tenaga dan/atau perhatian) atau memakan masa lebih daripada sehari untuk disiapkan (tetapi kalau begini selalunya boleh dibiarkan, seperti proses menjeruk).
 
periuk

© Hak cipta Periuk 2022

© Hak cipta Periuk 2022

 
periuk