Periuk logo
Periuk logo
Panduan kudapan Deepavali
Panduan kudapan Deepavali

Seperti perayaan lain di Malaysia, Deepavali juga merupakan masa untuk menjamu selera. Daging kambing dan nasi minyak tumpah ke meja dan pinggan, dan siang atau malam tiada bezanya. Tetapi di antara lauk pedas dan masa rehat yang wajib, ada sahaja balang-balang murukku, biskut, dan kudapan. Kudapan-kudapan inilah ciri utama Deepavali di rumah India Selatan di Malaysia—mengalas perut sambil bergelak ketawa bersama.

Mullu murukku

Kudapan yang sering dilihat di meja makan semasa Deepavali mungkin sekali murukku. Terdapat berpuluh jenis murukku yang wujud. Mullu murukku sangat rangup dan memuaskan, disebabkan alur-alur yang menambahkan tekstur. Bentuknya yang melingkar direka menggunakan acuan murukku.

Nei urundai

Bebola minyak sapi ini berbau manis dan savuri kerana mengandungi campuran moong dal yang disangai, buah pelaga, dan gula. Makan satu pun boleh puas, jadi nikmatilah kudapan berserbuk dan bergula ini dengan perlahan, bersama secangkir chai.

Pakoda reben

Murukku nipis dan beralun ini dibuat menggunakan tepung kacang kuda dan sedikit serbuk cili untuk warna merah menyala. Untuk membentuknya, adunan dimasukkan ke dalam acuan murukku dan ditekan dalam bentuk sarang terus ke dalam minyak panas. Apabila sejuk, murukku ini dipecah kepada kepingan kecil. Kadang-kadang biji bijan dimasukkan ke dalam adunan untuk rasa sedikit berbeza.

Achu murukku

Apabila dibandingkan dengan mullu murukku, achu murukku sedikit manis kerana mengandungi santan untuk mencairkan adunannya. Ini juga dikenali sebagai kuih ros, dan bentuknya yang cantik dibuat menggunakan acuan achu dan tangan yang mahir. Achu murukku yang bagus seharusnya rangup dan nipis, dan merekah dengan mudah apabila digigit.

Kacang pis bakar

Anda mungkin dapat cam kudapan ini di tempat minum yang dikunjungi ‘uncle-uncle’. Memang sukar untuk membayangkan bahawa bebola rangup ini dibuat menggunakan kacang pis segar, tetapi begitulah hakikatnya. Kudapan ini senang untuk disediakan di rumah—hanya nyahsejuk beku kacang pis beku dan keringkannya, campur dengan minyak masak, garam, dan campuran rempah kegemaran anda, dan bakar untuk sejam atau sehingga kacang pis kering dan rangup sepenuhnya.

Manisan kelapa

Manisan berwarna neon ini mungkin sekali dapat dilihat dari angkasa lepas. Diwarnai dengan pewarna makanan dan berasa manis melecas, gaya manisan ini mungkin kitsch tetapi memang biasa dihidang bersama kudapan yang lebih tradisional. Suka hati kamulah, manisan kelapa.

Adhirasam

Cincin-cincin yang digoreng ini mendapat warna perangnya daripada jageri, sejenis gula tebu yang popular di Asia Selatan. Rupa adhirasam mungkin tidak seberapa, tetapi kemahiran yang diperlukan untuk membuat kudapan manis dan padat ini memang tinggi, kerana setiap langkah memakan masa, tenaga, dan perhatian. Kalau anda ada kenal sesiapa yang mahir membuat kudapan ini, jangan sesekali putus saudara.

Campur

Baca sahaja namanya. Murukku ini merupakan campuran pelbagai komponen yang disediakan berasingan, dan digabung untuk membentuk campuran penuh warna dan tekstur. Ramuan utamanya ialah sev atau omapodi, bebenang goreng yang dibuat menggunakan tepung kacang kuda. Sev ini pula dicampur dengan kacang goreng, dal kacang kuda, kacang pis rangup, dan daun kari. Masin dan menarik.

Payasam

Ada pelbagai jenis payasam dan kesemuanya istimewa pada waktu Deepavali. Payasam beras adalah popular di kalangan orang India Selatan, sebuah campuran seakan kastard yang dibuat menggunakan jageri, buah pelaga dan minyak sapi, dicampur bersama gajus bakar untuk menambah kerangupan.

Chippi

Kudapan berbentuk cangkerang ini mempunyai perisa savuri atau manis. Jenis savuri juga dikenala sebagai kuih siput, diwarnai oren menggunakan serbuk kari dan dicampur dengan daun kari untuk aroma sedikit berasap. Jenis yang manis susah untuk dicari tetapi sangat lazat, dan ini dicampur dengan gula aising apabila diangkat dari kuali. Inilah gabungan manis-masin yang kami memang suka sekali.

Biskut suji

Ada banyak jenis biskut lebut ini—ada yang dibuat dengan tepung suji, ada yang dibuat dengan mentega atau minyak, ada yang dibuat dengan atau tanpa tepung. Jenis kegemaran kami kaya dengan minyak sapi, lembut dengan gula aising, dan warna perang muda. Kami tidak pasti kenapa sering terdapat titik merah di atas biskut comel ini, tetapi kalau tak ada, nampak macam belum siap.

Kek mentega

Ini mungkin sekali kudapan yang paling diagungkan di negara kita oleh pelbagai budaya—kek mentega. Kek ini selalunya dipotong dalam bentuk segi empat yang kecil supaya senang untuk dimakan tetamu, dan paling enak dibuat dengan mentega tulen (petua: jenama kegemaran dalam rumahtangga di Malaysia ialah SCS). Resepi Dinesh merupakan versi kek mentega yang paling mewah dan lazat kami pernah cuba.

Baca seterusnya:  deepavali, india, kudapan, murukku

Baca seterusnya

Lauk tumis-reneh untuk hujung minggu

Masak dengan perlahan

Lauk tumis-reneh untuk hujung minggu

Varuval kambing

Daging rebus berkuah masala manis-pedas

Varuval kambing

Kari ayam berkrim dan berempah

Ini bukan kari mak awak

Kari ayam berkrim dan berempah

Baca seterusnya

Lauk tumis-reneh untuk hujung minggu
Varuval kambing
Kari ayam berkrim dan berempah

 
periuk

© Hak cipta Periuk 2024

© Hak cipta Periuk 2024

 
periuk