Periuk logo
Periuk logo

Ku terfikirkan bonda sambil mengikis halia, menghiris sehingga menjadi ranting halus (walaupun masih seakan dahan, kerna aku tidaklah sehati-hati sepertimu)
Dan melepaskannya ke dalam minyak.

Merecik ke mukaku tetapi ku sempat menoleh jadi tidaklah tercedera.
Ku terimbas raut wajahmu bonda sambil menghiris bawang (seakan separa purnama, bukanlah lingkaran sempurna hasilmu) dan menghidu kewangian yang berdesir dari periuk licinku.

Bonda dulu memakai kuali besi atas api marak.
Tetapi ku di sini, bukan di sana.

Ku pun berdiri di dapur datarku, pusaran bergemala merah membara dan ku memerhati supaya tidak hangit.
Anakandaku bergegas masuk dengan khabar berita.
Ada raksasa di kaca TV dan dia mahu tahu apakah gelarannya.
Ku berjalan keluar dan melihat seekor T-Rex di ruang tamu.
“T-Rex”, ku berkata dan berpusing kembali ke dapur:
senantiasa di situ, senantiasa menantiku, bau melekap ke pakaianku, rambutku, kulitku.
Seperti cenderamata tidak dipinta, bau yang ku sayang sejak berumur 13 tahun
(walaupun ku tidak tahan lagi bunga Matahari)

Sudah lewat dan santapan malam harus disediakan.

“Duduklah sini, Amma,” katanya. 

Tetapi anakandaku tidak meramal kelaparannya.
Kalau tidak disuap akan mengaung seperti raksasa sambil ku bertahan ngeran.

“Tidak”, ku berkata, menghanyut. (Semestinya, mestinya, mesti ku lebih rela bersamanya dan bersuka)

Ku terimbas raut wajahmu.

Berkedutkah wajah bonda dulu?
Berpenatkah bonda dulu?
Bertahankah bonda dulu?

Ku tertanya begitukah perasaanmu bonda setiap kali dirimu berkata yang sama kepadaku.

Dapur berbau hangit.
Bawang telah hangus dan halia telah hitam.
Rosak santapan malam.

“Tapaulah jawabnya,” ku terfikir sendiri tersenyum kambing sambil menuang minyak panas ke dalam sinki terlupa untuk membiarnya sejuk dulu ku telah silap lagi.
Berdendam sambil merecik
setitis memantul kembali
tetapi ku tidak menoleh kali ini
kali ini.

Ku teringat lecur di lenganmu bonda, bau minyak panas membakar kulit gelap lembut pabila fikiranmu pasti melayang sambil kelibatmu juga berdiri di dapurmu.

Puas hatiku.
Kita tidaklah terlalu berbeza.

***

AV Kitching adalah penulis kelahiran Malaysia yang sudah bermastautin di London sejak 20 tahun lalu.

Diterjemah oleh Alia Ali & Zana Fauzi.

Baca seterusnya:  keluarga, puisi

 
periuk

© Hak cipta Periuk 2021

© Hak cipta Periuk 2021