Periuk logo
Periuk logo

Dua hujung minggu yang lalu, penonton-penonton di Malaysia dan United Kingdom dijemput menonton pementasan teater dan menjamu selera… di rumah sendiri. Wayang Kitchen bersama dengan Omnibus Theatre telah sama-sama menerbitkan pementasan langsung RICE! di Zoom. Ini didahului dengan demonstrasi masakan yang dijalankan oleh Set The Tables untuk menunjukkan cara menyediakan telur herba dan bubur nasi yang dirujuk dan dijamah penonton sepanjang pertunjukan.

Tetapi apakah subjek pertunjukan ini dan bagaimanakah pementasan ini terjadi? “Wayang Kitchen mahu menumpukan perhatian kami kepada makanan dan teater, dan tujuan kami adalah untuk menjadikannya menarik setiap kali,” kata Razif Hashim, penerbit bersama dan pengarah bersama pementasan ini bersama Hester Welch. Ini bukanlah kali pertama mereka mengadakan pementasan (termasuk secara maya), tetapi inilah kali pertama mereka mengadakan pementasan langsung di dua benua.

Razif berkata yang biasanya Wayang Kitchen bekerjasama dengan restoran-restoran di KL dan mengaitkan pengalaman makanan dengan berlipurlara dan juga penonton langsung. Tetapi bila 2020 terjadi, mereka juga harus berubah arah.

Bubur nasi dengan pelbagai lauk termasuk confit itik, di dalam mangkuk merah jambu di atas meja kayu.
Hidangan bubur nasi yang disediakan oleh Concubine KL. Gambar ihsan: Wayang Kitchen

RICE! mengisahkan Connie, seorang penyanyi Cina-Malaysia yang berpindah dari Malaysia ke UK, termasuk segala kenangan dan kisah yang berkaitan. Pementasan ini merujuk kepada perhijrahan cendekiawan pada lewat ’90an dan juga cemuhan daripada makcik-makcik Malaysia dan jiran-jiran England. Ramai imigran memahami kesukaran yang dilalui watak Connie, terutamanya jika mereka berbangsa Cina dari Malaysia, lebih-lebih lagi jika mereka wanita dalam pertengahan umur.

Pementasan ini memang menghiburkan (walaupun kadangkala tidak mengikut urutan bagi mereka yang tidak biasa menonton teater), tetapi yang paling menarik tentang pertunjukan ini sememangnya makanan yang diserlahkan. Set ramuan untuk telur herba dan bubur nasi disediakan untuk penonton di Lembah Klang oleh Concubine KL, dan oleh 5 Foot Way untuk penonton di UK. Dapur ujian Periuk berada di Langkawi, tetapi memandangkan kami di Periuk ada semua ramuan yang diperlukan, kami pun mengikut sesi masakan sekali.

Gambar skrin semasa demonstrasi makanan.
Demonstrasi makanan oleh juruacara Theri Burhan. Gambar oleh: Periuk

Vera Chok, penulis projek ini dan juga seorang imigran Cina-Malaysia di UK, menerangkan cara dia menggabungkan kesemua aspek jalan cerita dan hidangan yang terlibat. “Mereka mahukan tiga hidangan, jadi kami ada telur herba, bubur nasi, dan  kacang sebab [pementasan ini] berlangsung sekitar Tahun Baru Cina,” kata Vera.

Para penonton diminta menyediakan kuah perapan untuk telur herba semasa demonstrasi makanan, dan watak muda Connie (dimainkan oleh Amanda Ang) menunjukkan di skrin cara untuk memecahkan kulit telur rebus. “Jangan pukul kuat sangat, ini telur, bukan anak dara awak!” kata Connie di skrin, mukanya mengerut sambil memukul kulit telurnya.

Bau kicap merenih bersama gula dan rempah dihembus angin sambil kami menonton pertunjukan ini di rumah kami sendiri dan dibawa ke dalam kenangan Connie. Pengalaman ini agak menarik kalau nak dibandingkan dengan setiap masa kami menonton dokumentari televisyen tentang makanan dan teringin mencapai melalui kaca skrin untuk menyambar makanan yang terpapar.

Bubur nasi pula disebut melalui akuan kegagalan Connie sebagai seorang wanita kerana tidak mahir di dalam dapur. “Saya tak boleh masak nasi sebab asyik lembik sangat tapi hey, itu kan bubur!” Apabila ditanya tentang cara mereka memilih setiap hidangan yang ditawarkan dan dirujuk semasa pertunjukkan ini, Vera berkata yang mereka dikekang kawalan pergerakan dan harus memilih ramuan yang boleh dipos dan tidak akan basi.

“Semua orang ada telur, jadi kami menghantar herba. Dan kami memilih bubur nasi kerana ia merupakan metafora tentang sesuatu yang boleh disesuaikan; awak seorang individu, dan inilah cara ia disediakan secara tradisional, tapi makanlah macam mana awak nak, ikutlah cara hidup awak sendiri,” katanya. Pelakon yang memainkan watak Connie yang lebih tua, Michelle Wen Lee, ialah seorang lagi imigran Cina-Malaysia ke UK dan wanita disebalik tabir 5 Foot Way.

“Kami terpaksa singkatkan skrip kami kerana banyak sangat kisah yang dikumpul tentang wanita dan orang yang bermigrasi untuk mencari kehidupan lebih baik,” kata Vera. “Satu jam memang tak cukup, lagilah sebab pementasan ini interaktif, tapi saya puas hati dengan hasil kerja kami kerana kami mengambil masa untuk betul-betul bersama penonton. Apa yang penting terutamanya sekarang adalah berhubung [antara satu sama lain].” Dan cara terbaik untuk berhubung adalah dengan berkongsi hidangan yang sama, tak mengira zon waktu dan tempat.

Amanda Ang sebagai Connie, memandang jauh, skrin kamera kelihatan di latar hadapan.
Amanda Ang sebagai Connie. Gambar ihsan: Wayang Kitchen

Vera mengeluh apabila kami bertanya tentang kenangan makanan yang paling sukar untuk direka semula di UK. “Ramai orang Malaysia ada senarai makanan yang nak dimakan bila diorang balik, dan saya tak tahu pun nama makanan yang saya rindu sebab dah lama sangat tak terfikir. Tapi bila saya tengok…” Dia senyap sebentar sebelum menjadi riang semula. “Ya tuhan, roti jala. Mengidamnya saya roti jala.”

Baca seterusnya:  bubur, seni pementasan, teater, telur

 
periuk

© Hak cipta Periuk 2021

© Hak cipta Periuk 2021